Monday, November 24, 2014

SUATU KEJADIAN

Hospital Kuala Lumpur.  Di bahagian pesakit luar yang di pindahkan di bangunan luar hospital kerana bangunan utama sedang di baik pulih.  Memang jauh, berpeluh ketiak aku.  Aku cuma sakit lutut dan masih boleh berjalan walau perlahan.  Bayangkan pesakit lain yang demam, terpaksa datang sendiri berjalan kaki sejauh ini.  Aku kesat peluh yang basah di dahi.  Aku duduk di kerusi  yang di sediakan.  Menunggu giliran nombor aku di panggil.  Di tengah-tengah ruang menunggu terdapat monitor dan tertera empat baris nombor giliran.  Bersilih ganti nombornya. 

Perut mula meragam.  Oh! Baru aku teringat.   Aku masih belum bersarapan.  Tiada kedai di sediakan hanya sekadar gerai kecil menjual pelbagai makanan.  Sedang aku berfikir-fikir untuk membeli makanan tiba-tiba datang seorang kanak-kanak lelaki India menghulur beberapa keping duit syiling di tapak tangannya lalu bertanya kepada taukeh gerai seorang wanita “20sen, 20sen… 10sen.. apa boleh beli makcik?”.  

Wanita itu pada mulanya buat tak layan tapi kanak-kanak itu terus bertanya dengan mengulang soalan yang sama.  Dengan wajah kelat wanita itu menjawab “50sen… tu..tu mashmelo dalam plastik tu” dia menghulur sebungkus mashmelo paket kecil.  Kanak-kanak itu hanya melihat.  Mungkin dia mengharapkan lebih dari itu.  Mungkin juga dia beranggapan dengan 50sen dia dapat membeli sekurang-kurangnya sebiji karipap.  Namun apa yang aku lihat di gerai kecil itu hanya nasi lemak, mihun, kuih-muih yang sudah siap di bungkus dan nyata harganya RM1.50 dan ke atas.  Kanak-kanak itu terus berlari masuk ke dalam bangunan pesakit luar. 

Plastik yang berisi roti telur di tangan, ku tenung.  Lantas aku berlari mendapatkan kanak-kanak itu.  Hampa kelibatnya hilang di dalam kelompok manusia yang ramai duduk di bangku menunggu.  Sedikit rasa kesal di hati.  Mungkin kanak-kanak itu mahu mengisi perut sementara ibunya menunggu mendapatkan rawatan.  Atau mungkin juga dia memang belum bersarapan dan ibunya hanya ada 50sen baki di dalam poket?.  Aku duduk di kerusi.  Bergenang airmataku. 

Ternyata nasib kita tidak sama.  Takdir kita berbeza. 

Tuesday, November 11, 2014

ASK CERITAKU

Berpeluang menjadi di antara 10 terbaik untuk ASK CERITAKU di Anugerah Skrin 2014, sudah memadai.  Alhamdulillah. Cerita ini mungkin tidak mendapat tempat di dalam 5 terbaik.  Insyaallah akan di lanjutkan menjadi proposal kepada producer, mudah-mudahan dapat tempat di stesen tv... 

CAHAYA HATI

Hadi sering menghubungi syarikat komputer setiap kali terdapat masalah dengan perisian yang di beli.  Panggilannya sering di jawab oleh Mila.  Mila seorang yang lembut dan petah.  Hadi mula tertarik dengan Mila walaupun tidak pernah bersua.  Sejak itu mereka sering berkomunikasi melalui talipon. 

Mila seringkali menolak untuk berjumpa.  Suatu hari Hadi telah pergi ke pejabat Mila dan menyamar sebagai budak penghantar bunga.  Ketika tiba di pejabat , Hadi ternampak seorang gadis di suatu sudut.  Hadi tahu itu Mila kerana dia kenal dengan suara Mila.  Hadi agak hairan kerana Mila tidak mengendahkan kehadirannya.  Tiba-tiba Mila bangun untuk mengambil sesuatu.  Mila memegang tongkat.  Lantas baru Hadi sedar bahawa Mila adalah buta.

Hadi terkejut dan berlalu sebelum sempat memperkenalkan dirinya.  Hadi suka pada Mila tetapi dia sukar menerima kekurangan Mila.  Hadi menghilangkan diri. 

Mila mula rindu untuk berbual dengan Hadi.  Oleh kerana sedar akan kekurangan dirinya, maka Mila pendamkan sahaja. 

Afiq menasihati Hadi agar berjumpa Mila dan berterus terang.  Hadi menghubungi semula Mila.  Mereka membuat temujanji.  Mila juga mahu berterus terang tentang keadaannya.  Lama Mila tunggu tetapi Hadi tidak muncul.  Mila hampa dan kecewa.  Dia merasakan Hadi mempermainkan perasaannya.

Sewaktu dalam perjalanan Hadi terlibat dengan kemalangan.  Mukanya parah dan di sahkan buta.  Hadi menjadi lemah dan hilang semangat.   Sementara itu Mila meneruskan kehidupannya seperti biasa.  Majikannya telah menawarkan untuk mengubat mata Mila.  Mila di pulihkan dan boleh melihat. 

Keadaan Hadi semakin teruk.  Afiq telah membawa Hadi ke Persatuan Orang Buta Malaysia bertujuan untuk memulihkan semangat Hadi.  Di sana dia akan di ajar bagaimana hendak menjalani kehidupan sebagai orang buta.  Hadi di perkenalkan dengan seorang tenaga pengajar.  Hadi terkejut bila mendengar suaranya.  Itu adalah suara Mila.  Mila juga kenal dengan suara Hadi walaupun dia tidak pernah tahu bagaimana wajah Hadi.


Andai dulu mereka berjumpa ketika Mila buta dan Hadi boleh melihat tetapi kini sebaliknya.