Monday, November 24, 2014

SUATU KEJADIAN

Hospital Kuala Lumpur.  Di bahagian pesakit luar yang di pindahkan di bangunan luar hospital kerana bangunan utama sedang di baik pulih.  Memang jauh, berpeluh ketiak aku.  Aku cuma sakit lutut dan masih boleh berjalan walau perlahan.  Bayangkan pesakit lain yang demam, terpaksa datang sendiri berjalan kaki sejauh ini.  Aku kesat peluh yang basah di dahi.  Aku duduk di kerusi  yang di sediakan.  Menunggu giliran nombor aku di panggil.  Di tengah-tengah ruang menunggu terdapat monitor dan tertera empat baris nombor giliran.  Bersilih ganti nombornya. 

Perut mula meragam.  Oh! Baru aku teringat.   Aku masih belum bersarapan.  Tiada kedai di sediakan hanya sekadar gerai kecil menjual pelbagai makanan.  Sedang aku berfikir-fikir untuk membeli makanan tiba-tiba datang seorang kanak-kanak lelaki India menghulur beberapa keping duit syiling di tapak tangannya lalu bertanya kepada taukeh gerai seorang wanita “20sen, 20sen… 10sen.. apa boleh beli makcik?”.  

Wanita itu pada mulanya buat tak layan tapi kanak-kanak itu terus bertanya dengan mengulang soalan yang sama.  Dengan wajah kelat wanita itu menjawab “50sen… tu..tu mashmelo dalam plastik tu” dia menghulur sebungkus mashmelo paket kecil.  Kanak-kanak itu hanya melihat.  Mungkin dia mengharapkan lebih dari itu.  Mungkin juga dia beranggapan dengan 50sen dia dapat membeli sekurang-kurangnya sebiji karipap.  Namun apa yang aku lihat di gerai kecil itu hanya nasi lemak, mihun, kuih-muih yang sudah siap di bungkus dan nyata harganya RM1.50 dan ke atas.  Kanak-kanak itu terus berlari masuk ke dalam bangunan pesakit luar. 

Plastik yang berisi roti telur di tangan, ku tenung.  Lantas aku berlari mendapatkan kanak-kanak itu.  Hampa kelibatnya hilang di dalam kelompok manusia yang ramai duduk di bangku menunggu.  Sedikit rasa kesal di hati.  Mungkin kanak-kanak itu mahu mengisi perut sementara ibunya menunggu mendapatkan rawatan.  Atau mungkin juga dia memang belum bersarapan dan ibunya hanya ada 50sen baki di dalam poket?.  Aku duduk di kerusi.  Bergenang airmataku. 

Ternyata nasib kita tidak sama.  Takdir kita berbeza. 

No comments: